
dipetik daripada blog ; http://wzwh.blogspot.com/
Sebelum  datang Islam, kaum Arab hidup di bawah sistem berkabilah tidak kira di  bandar atau di padang pasir. Makkah sebuah kota maju masih mengamalkan  sistem kabilah.
Kabilah  merupakan satu unit sosial yang mengawal sistem pentadbiran masyarakat.  Penyatuan masyarakat berkabilah adalah berlandaskan pertalian darah dan  keturunan dan mempunyai semangat asabiyah (semangat setiakawan).
Setiap  kabilah mempunyai nama dan status; dipelihara dan dipertahankan. Setiap  kabilah bermegah dengan kabilahnya dan memandang hina kabilah lain.
Melalu  semangat asabiyahlah menyebabkan mereka sering berperang. Tujuannya  untuk mencari nama, kuasa, pengaruh dan harta benda sebagai lambang  kemegahan bagi kabilah. Setiap peperangan melibatkan dua atau lebih  kabilah sampai berlanjutan berpuluh-puluh tahun seperti Perang Basus  antara kabilah Bakr dengan Rabi'ah.
Punca  peperangan disebabkan pertelingkahan tentang sempadan, perlanggaran  peraturan, persengketaan antara keluarga dalam kabilah. Setelah tamat  peperangan, timbul dendam mendendam hingga tercetus peperangan baru.
Dalam  masyarakat Arab terdapat jalinan kekeluargaan yang sangat kukuh  daripada yang kecil kepada yang paling besar seperti berikut:
A'ilah: keluarga seperti keluarga Abu Talib, keluarga Abbas dll
Fasilah: gabungan antara keluarga seperti gabungan antara keluarga Abu Talib dengan keluarga Abbas.
Bani:  gabungan antara dua atau lebih fasilah seperti gabungan antara keluarga  Abu Talib, keluarga Abbas, keluarga Abdullah, dan keluarga  saudara-saudara yang lain
Fakhidh:  gabungan antara dua atau lebih bani, seperti gabungan antara Bani  Hashim dengan Bani Umaiyah yang membentuk fakhidh Abdul Manaf.
Batn:  gabungan antara dua atau lebih fakhidh, seperti gabungan antara fakhidh  Abdul manaf dengan fakhidh Makhzum membentuk batn Quraisy.
Imarah: gabungan antara batn Quraisy dengan Kinanah membentuk Imarah Mudar.
Kabilah: gabungan antara Imarah Mudar dengan Imarah Rabi'ah membentuk kabilah Adnaniyah.
Sya'b: gabungan antara kabilah Adnaniyah dan kabilah Qahtaniyah membentuk Sya'b (bangsa) Arab.
Perasaan asabiyah bagi setiap peringkat yang dinyatakan di atas sentiasa wujud. Dengan sebab itu sering berlaku persengketaan.
Setiap  Bani (suku) mempunyai seoranng ketua yang dipanggil 'Syeikh', dilantik  berdasarkan beberapa ciri antaranya sifat keberanian, pemurah dan pintar  (hilm), disamping pengaruhnya di kalangan sukunya. Andai terdapat dua  orang atau lebih yang setanding, maka undian akan menentukannya.
Ada  juga kaum Arab Hadari mengamalkan sistem warisan dalam perlantikan  ketua. Mereka terdiri seperti kaum bangsawan kaum Quraisy Makkah  dipimpin Bani Hashim.
Ia  bukanlah satu sistem demokrasi atau monarki secara mutlak, kerana sifat  orang Arab suka hidup bebas tanpa kawalan undang-undang atau peraturan.  Inilah menyebabkan masyarakat Arab menjadi kucar-kacir. Jika sekiranya  setiap orang mahu menang sepanjang masa tanpa mahu bertolak ansur dan  berdisiplin, maka dengan sendirinya akan timbul golongan anarki.